2013

Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa portfolio aset kami terus mencatat prestasi kukuh sekaligus menghasilkan keputusan positif bagi FY2013.

Chairman's Letter to Unitholders from Hektar REIT's 2013 Annual Report.

Pemegang-pemegang Unit yang Dihargai,

Bagi pihak Lembaga Pengarah Hektar Asset Management Sdn Bhd, pengurus amanah pelaburan hartanah bagi Hektar Real Estate Investment Trust (Hektar REIT), saya membentangkan kepada anda Laporan Tahunan Hektar REIT dan penyata kewangan yang diaudit bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013 (FY2013).

Saya dengan sukacitanya melaporkan bahawa portfolio aset kami terus mencatat prestasi kukuh sekaligus menghasilkan keputusan positif bagi FY2013.

Perancangan teliti telah dimulakan dengan inisiatif peningkatan aset (AEI) di Central Square dan Landmark Central (secara kolektif dikenali sebgai Kedah Malls). Oleh kerana Central Square memerlukan perhatian lebih segera, ia telah dipilih sebagai aset yang pertama untuk menjalani langkah-langkah penaikan taraf aset serta pengaturan semula para penyewa. Lebih banyak lagi rangkaian peruncit tempatan dan antarabangsa akan diperkenalkan bagi mempertingkatkan profil kedua-dua Kedah Malls. Langkahlangkah pengaturan semula dan penaikan taraf dijangka siap menjelang suku tahun ketiga 2014. Setelah selesainya program AEI, prestasi Central Square dijangka meningkat ekoran daripada pelaksanaan amalan-amalan terbaik antarabangsa.

Teruskan membaca bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci mengenai aktiviti-aktiviti kami di sepanjang FY2013.

Persekitaran operasi

Kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2013 adalah 4.7% dan dijangka akan meningkat kepada 5.3% pada tahun 2014. Ini adalah ijmak di kalangan ahliahli ekonomi melalui kajian yang dijalankan oleh Focus Economics. Mereka adalah pakar ekonomi yang berpangkalan di Barcelona, Sepanyol. Permintaan luar yang bertambah baik ekoran pemulihan ekonomi negara-negara barat dan kestabilan ekonomi negara China akan menyumbang kepada perkembangan ekonomi Malaysia. Ekonomi Malaysia juga disokong oleh perkembangan permintaan domestik yang lebih pesat pada tahun 2014. Dalam laporan yang berasingan, Kementerian Kewangan melalui Laporan Ekonomi 2013/2014, telah melaporkan bahawa permintaan domestik telah menjana kekuatan ekonomi tempatan pada 2013 dan dijangka terus tumbuh pada 2014. Sektor swasta dijangka akan menerajui pembangunan ekonomi kerana kerajaan akan mengurangkan perbelanjaannya bagi membendung defisit fiskal dan hutang negara yang semakin meningkat. Permintaan luar yang lebih baik akan mencetus ekspot Malaysia dan merangsang permintaan di sektorsektor pengilangan, produk berasaskan sumber asli dan elektronik. Di sebalik ketidakpastian yang menyelubungi “Quantitative Easing” (QE) pada 2013, ramai penganalisis berpendapat bahawa asas kukuh ekonomi Malaysia telah membantu mengurangkan kesan aliran keluar modal yang didorong oleh penirusan QE.

Hektar REIT kekal yakin dalam model perniagaannya – memiliki dan mengurus destinasi runcit bertaraf dunia bagi warga Malaysia. Suasana perniagaan keseluruhan masih lagi positif untuk menyokong rancangan perniagaan kami. Aliran keluaran modal dan langkah-langkah berjimat cermat kerajaan tidak melemahkan industri peruncitan domestik pada tahun 2013. Persatuan Peruncit-peruncit Malaysia (MRA) telah melaporkan baru-baru ini bahawa mereka menjangkakan jualan runcit Malaysia akan mengekalkan corak pertumbuhannya pada kadar 6.2% berbanding dengan kadar pertumbuhan sebanyak 5.5% yang dicatat pada tahun 2012. MRA juga meramalkan bahawa penggunapengguna Malaysia akan menghadapi cabaran lebih sengit dengan meramalkan kadar pertumbuhan runcit yang lebih perlahan sebanyak 6.0% bagi tahun 2014. Tekanan ke atas kuasa membeli pengguna dijangka akan timbul daripada kenaikan tarif elektrik, kos pinjaman, harga barangan dan perkhidmatan.

Prestasi kewangan

Prestasi kewangan yang stabil

Bagi FY2013, hasil kasar mencapai RM120 juta, meningkat sebanyak 16.5% dari tahun sebelumnya, manakala pendapatan harta bersih (NPI) mencapai RM74 juta, juga meningkat sebanyak 16.3% dari tahun kewangan sebelumnya yang berakhir 31 Disember 2012 (FY2012). Di sebalik cabaran kos yang semakin meningkat, Hektar REIT telah menjana pendapatan bersih sebanyak RM58.8 juta, 0.5% lebih tinggi dari FY2012. Pertumbuhan dalam hasil kasar adalah disumbang oleh kelima-lima pusat membeli-belah kami. Perolehan direalisasi setiap unit ialah 11.52 sen, 1.5% lebih rendah dari 11.69 sen bagi FY2012.

Aset-aset Hektar REIT telah meningkat dengan pembelian Kedah Malls dan jumlah nilai aset semasa ialah RM1.05 bilion. Sejajar dengan itu, nilai aset bersih (NAV) juga telah meningkat kepada RM1.53 setiap unit.

Pelarasan nilai hartanah

Pelarasan nilai hartanah adalah perkara bukan tunai dan adalah sebahagian dari garis panduan Piawaian Laporan Kewangan (FRS) yang digunakan ke atas pelarasan penilaian bagi portfolio hartanah Hektar REIT. Penilaian dijalankan oleh jurunilai bebas dimana laporan mereka dibuat secara objektif bagi menentukan nilai pasaran sesuatu hartanah pada masa tersebut. Pengurus-pengurus aset akan sentiasa mencari jalan untuk menaik taraf hartanah-hartanah, sekaligus meningkatkan potensi pendapatan dan nilai hartanah mereka.

Kenaikan 1.4% dalam penilaian hartanah pada FY2013 kepada RM1.05 bilion (FY2012 RM1.03 bilion) menunjukkan peningkatan dalam nilai pasaran portfolio hartanah milik Hektar REIT. Keupayaan penghasilan pendapatan portfolio semakin bertambah baik dalam tahun 2013. Pelbagai program AEI telah dirancang dan semua langkah pengaturan semula penyewa yang dilaksanakan dalam tahun FY2013 telah menghasilkan keputusan yang dihasratkan. Teruskan membaca bagi mendapat butir-butir lebih terperinci mengenai aktiviti penambahbaikan aset kami di sepanjang tahun.

Pengagihan pendapatan dan polisi perakaunan

Hektar REIT mengumumkan pengagihan setiap unit (DPU) sebanyak 10.50 sen bagi FY2013, mengekalkan kadar bayaran yang dibuat pada FY2012. Sepertimana yang dijanjikankan pada mesyuarat agung pada 2013, kami komited untuk mengekalkan sekurang-kurangnya kadar DPU sebanyak 10.5 sen. Sejak penawaran awam awal (IPO) pada 2006, Hektar REIT telah mengekalkan rekod prestasi secara terus menerus dalam membuat pengagihan suku tahunan bagi pemegang-pemegang unitnya.

Kami telah mengekalkan polisi membayar sekurangkurangnya 90% dari pendapatan bersih boleh diagih sebanyak empat kali setahun. Pendapatan bersih boleh diagih adalah pendapatan bersih yang tidak termasuk perkara bukan tunai, seperti pelarasan nilai hartanah (pada kebiasaannya dikaitkan kepada kenaikan nilai hartanah) dan perkara-perkara di bawah FRS 117, piawaian perakaunan dilaksanakan pada FY2010 (lihat nota-nota kepada akaun bagi butir-butir lebih lanjut). Justeru itu, pendapatan bersih boleh diagih FY2013 adalah lebih rendah dari pendapatan bersih. Selepas membayar 90% dari pendapatan bersih boleh diagih, Hektar REIT menyimpan 10% yang selebihnya bagi tujuan peningkatan aset masa hadapan hartanah dan pembelian lot-lot individu di seluruh portfolio Hektar REIT.

Rekod prestasi positif

Hektar REIT mencatat peningkatan prestasinya setiap tahun sejak IPO pada tahun 2006. Pasaran saham menghargai rekod-rekod ini dan telah memberi ganjaran kepada pemegang-pemegang unit Hektar REIT dengan penilaian unit-unit dalam edaran yang saksama. Di sebalik kesan penurunan akibat penerbitan 80.0 juta unit baru untuk membiayai sebahagian daripada pembelian Kedah Malls pada tahun 2012, harga unit pada akhir tahun 2013 Hektar REIT ditutup pada RM1.50, peningkatan sebanyak 2.7% daripada RM1.46 yang dicatatkan pada awal tahun 2013.

Sekiranya anda telah melabur dalam unit-unit Hektar REIT pada permulaan tahun 2013 pada RM1.46 seunit dan kekal sebagai pemegang unit sehingga akhir tahun, anda akan menerima empat agihan berjumlah 10.5 sen setiap unit, mewakili kadar hasil agihan sebanyak 7.0% (berdasarkan harga penutup sebanyak RM1.50 pada 31 Disember 2013) dan keuntungan modal ke atas harga unit sebanyak 2.7% (berdasarkan harga kemasukan pelaburan permulaan pada RM1.46). Jumlah pulangan anda memegang unit Hektar REIT sepanjang FY2013 ialah 9.7%.

Pada akhir 2013, unit-unit Hektar REIT telah didagangkan pada tebaran 282 mata asas kepada kadar hasil 10-tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS). Sebelum ini, tebaran terhadap kadar hasil MGS telah dicatatkan pada 376 mata asas pada 2012. Premium ke atas kadar hasil MGS telah berkurangan sebanyak 94 mata asas disebabkan oleh peningkatan kadar hasil MGS sebanyak 75 mata asas kepada 4.2%.

Kadar polisi semalaman (OPR) kekal tidak berubah pada 3.0% sejak kenaikan 25 mata asas yang terakhir dalam bulan Mei 2012. Terdapat kebimbangan yang kenaikan dalam OPR oleh Bank Negara Malaysia (“BNM”) mungkin akan meningkatkan kadar hasil bon dan mengurangkan tebaran. BNM setakat ini telah dapat menahan tekanan untuk menaikkan OPR walaupun gambaran keseluruhan ekonomi global telah bertambah baik. BNM perlu berhatihati apabila menaikkan kadar faedah pada masa kenaikan harga agar tidak memberi kesan negatif kepada pendapatan isi rumah.

Pembiayaan pada 2013

Pembiayaan Hektar REIT dicagar oleh kemudahan overdraf Al-Murabahah dengan 4 tranche bernilai RM184 juta, RM150 juta, RM54.3 juta dan RM32.8 juta yang akan tamat masing-masing pada 2016, 2018, 2016 dan 2016. Hektar juga mempunyai kemudahan pinjaman konvensional bernilai RM15 juta yang akan tamat pada tahun 2016. Nisbah pinjaman FY2013 Hektar REIT berkurang ke-tahap 40.2% (FY2012 42%). Ia masih berada dalam had 50% yang ditentukan oleh pihak berkuasa manakala kos purata wajar pembiayaannya pada tahun berakhir FY2013 kekal pada 4.6%.

42% dari jumlah pinjaman Hektar REIT yang telah dipagar melalui instrumen Swap Kadar Keuntungan Islam (Islamic Profit Rate Swap (“IPRS”)”) adalah untuk mengurangkan risiko kenaikan kadar pinjaman. Kadar IPRS 5-tahun ditetapkan pada 4.85%.

Prestasi portfolio

Portfolio Hektar REIT terdiri daripada Subang Parade di Subang Jaya, Mahkota Parade di Melaka, Wetex Parade di Muar, Central Square di Sungai Petani dan Landmark Central di Kulim. Secara kolektif, hartanah-hartanah ini bertindak sebagai tumpuan tadahan penduduk melebihi 1.9 juta warga Malaysia. Pusat-pusat membeli-belah ini terletak di kawasan tumpuan populasi yang padat, dan menikmati kadar kesetiaan tinggi dari warga-warga tempatan yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ekoran daripada itu, lebih 500 penyewa mewakili spektrum daripada runcit sehinggalah hiburan menyewa hartanah runcit Hektar REIT.

Pengalaman di pusat membeli-belah

Moto Hektar REIT adalah mengenai “Mewujudkan Pusat Membeli-belah Pilihan Ramai” (“Creating The Places Where People Love to Shop”) dan model perniagaan mempraktikkan amalan terbaik bertaraf antarabangsa. Pasukan kami sentiasa menjalankan penyelidikan dan mengkaji amalan-amalan terbaik di seluruh dunia melalui pelbagai cara.

Selama beberapa tahun yang lepas, trend terkini dalam peruncitan telah memberi nafas baru kepada pusat membelibelah sebagai pusat komunal. Pusat-pusat membeli-belah terus muncul sebagai sebuah 'tempat pertemuan kegemaran'. Strategi kami ialah memastikan hartanah-hartanah Hektar REIT kekal sebagai tempat utama bagi perjumpaan komunal.

Cabaran & peluang Subang Parade

Pada tahun ini, pusat membeli-belah utama kami, Subang Parade telah menyambut ulang tahun yang ke 25 sekali gus menjadi salah sebuah pusat membeli-belah terulung di Malaysia. Walaupun sudah menjangkau 25 tahun ia masih kekal sebagai nadi komuniti Subang Jaya, sama seperti 25 tahun yang lalu. Pelanggan-pelanggan kami yang lahir dalam era 80-an telahpun matang dan kesinambungan dari satu generasi ke generasi yang lain perlu dijaga. Interaksi dengan pelanggan-pelanggan dan peruncit-peruncit adalah penting dalam mengekalkan kedudukan Subang Parade dalam pasaran.

Pihak pengurusan akan sentiasa mencari jenama dan penyewa yang sesuai dengan profil kami dan melabur secara intensif dalam kajian pasaran untuk mengetahui perubahan terbaru demografik dan keutamaan pasaran bagi memastikan gabungan penyewa kekal relevan. Maklumat yang diperoleh dari pemerhatian, maklum balas pelanggan, analisis penyewa dan program pemasaran membantu merumus strategi terbaik untuk pusat membeli-belah kami. Kami menghargai maklum balas pelanggan-pelanggan dan ingin memaklumkan kepada pelanggan-pelanggan bahawa kami peka terhadap keperluan anda.

Berdasarkan maklum balas, kami telah membawa masuk beberapa peruncit fesyen yang baru, pusat kesihatan dan kecantikan dan pusat perkembangan minda kanak-kanak yang terkini serta kafe yang lebih menarik seperti Pastryville dan Komugi. Swensen's telah menaik taraf lot perniagaan mereka dan telah memperkenalkan konsep baru. Selama ini, Swensen's terkenal dengan tawaran ais krim premium pelbagai perisa; Kini, mereka turut menawarkan pelbagai menu makanan kegemaran gaya Amerika.

Dengan persaingan pasaran yang semakin sengit, kami harus sentiasa bersiap sedia dan terus mengeratkan perhubungan kami dengan para peruncit bagi mencapai kejayaan bersama. Industri pusat membeli-belah sentiasa berubah mengikut zaman; Justeru itu, sebagai peruncit dan pengurus aset, kami juga perlu membuat perubahan yang relevan. Pihak pengurusan kami telah bekerja keras dengan para peruncit untuk memperkenalkan konsep dan reka bentuk kedai yang terkini, berkongsi pengetahuan industri dan menggalakkan penyewa-penyewa untuk kekal relevan dengan meningkatkan taraf perniagaan.

Subang Parade mempunyai kadar penyewaan yang penuh. Ia juga mencatat kadar penyewaan semula yang sihat sepanjang tahun 2013. Kami menjangkakan tahun mendatang akan lebih mencabar dimana kadar penyewaan tamat tempoh adalah lebih tinggi. Walau bagaimanapun, kami melihat ini sebagai satu peluang untuk meningkatkan kadar sewa dan juga memperbaiki penyusunan para penyewa. Peruncit-peruncit yang mempunyai tarikan tersendiri dengan potensi yang baik mungkin telah mendekati kami sebelum ini tetapi kami tidak dapat menawarkan tempat kepada mereka disebabkan oleh ketiadaan ruang. Ini merupakan masa yang paling sesuai bagi mengatur semula para penyewa.

Kedudukan Mahkota Parade yang kukuh

Mahkota Parade yang berada di tengah bandaraya Melaka adalah sebuah pusat membeli-belah serantau yang pertama semasa pembukaannya pada tahun 1994. Sehingga kini, Mahkota Parade kekal sebagai sebuah destinasi membelibelah utama dengan kedudukannya di kawasan tumpuan pelancong di bandar raya bersejarah Melaka. Di kawasan ini juga terdapat beberapa pusat membeli-belah lain seperti Dataran Pahlawan dan Hatten City yang berhampiran yang telah mewujudkan presint membeli-belah popular terutamanya di kalangan para pelancong.

Pada FY2013, Mahkota Parade telah mencatat kadar penyewaan lebih tinggi sebanyak 97.8% berbanding dengan 96.7% pada FY2012. Ia juga telah menikmati kadar penyewaan semula yang positif di sepanjang tahun, mengukuhkan kedudukan Mahkota Parade sebagai salah sebuah destinasi membeli-belah kegemaran pelancong tempatan dan pelancong asing di Melaka.

Mahkota Parade berbangga kerana mempunyai sekumpulan penyewa berjenama tempatan dan antarabangsa yang berkualiti. Kaison dan Popular Bookstores adalah penyewa tunjang mini terkini Mahkota Parade. Kaison adalah sebuah kedai hiasan rumah yang dijangka dapat mengimbangi gabungan penyewa di Mahkota Parade.

Bagi tahun 2014, AEI yang sedang dalam perancangan di Mahkota Parade ialah penambahan skrin pawagam sedia ada dari empat (4) kepada sepuluh (10) skrin yang boleh memuatkan 1,680 tempat duduk. Projek panggung wayang ini dijangka siap dan beroperasi pada suku tahun pertama 2015. Penambahan skrin panggung wayang di Mahkota Parade akan merangsang trafik pengunjung sama seperti apa yang telah berlaku di Subang Parade pada tahun 2012 dahulu semasa MBO Cinemas di lancarkan. Strategi ini akan menggalakkan pengunjung untuk naik ke paras dua sekaligus memanfaatkan kadar sewa di kawasan berhampiran.

Kedudukan utama Wetex Parade di Muar

Wetex Parade adalah sebuah pusat membeli-belah bersepadu yang terletak di tengah-tengah kawasan komersial bandar Muar. Ia menikmati kedudukan unggul sebagai destinasi utama masyarakat tempatan di Muar. Pada 2013, Wetex Parade telah mencatat kadar penyewaan yang teguh sebanyak 96.8% yang mencerminkan kedudukan unggulnya. Pada tahun 2013, penyewa tunjang kami, The Store telah menjalankan langkah penaikan taraf yang meningkatkan penawaran runcit dan pengalaman membeli-belah.

Terdapat tanggapan negatif yang mendakwa peruncit peruncit antarabangsa tidak akan berjaya di pekan kecil seperti Muar disebabkan kuasa membeli yang rendah di kalangan penduduk tempatan. Hektar telah membuktikan bahawa tanggapan tersebut tidak berasas apabila ia berjaya membawa masuk pelbagai rangkaian peruncit tempatan dan antarabangsa terkemuka seperti Hush Puppies, Polo Haus, Baskin Robbins dan Sushi King. Hektar telah menganjak paradigma dan telah mengubah minda. Kami akan mengulangi strategi ini di Kedah.

The Kedah Malls – Central Square dan Landmark Central

Pembelian kedua-dua Kedah Malls telah selesai dilaksanakan pada Oktober 2012. Kedua-dua kawasan membeli-belah ini terletak di kawasan tumpuan utama di Sungai Petani dan Kulim. Pelaburan dalam Kedah Malls sesuai dengan strategi pelaburan kami membeli aset-aset yang berpotensi untuk ditingkatkan nilai.

Bandar Sungai Petani terletak 35km ke utara negeri Pulau Pinang. Ia merupakan sebuah bandar yang berkembang maju dengan populasi besar melebihi 400,000 penduduk. Bandar ini juga dikelilingi kawasan perindustrian yang berkembang maju seperti zon industri berat Gurun. Sungai Petani mempunyai beberapa pusat membeli-belah dan pasaraya besar. Pusat membeli-belah yang terbaru ialah Amanjaya Shopping Mall yang terletak kira-kira 20 minit berkereta dari Pusat Membeli-Belah Central Square.

Bandar Kulim mempunyai Kulim Hi-Tech Park, sebuah taman teknologi yang menempatkan pelbagai syarikat terkemuka seperti Intel, Fuji, Ranbaxy dan First Solar. Landmark Central adalah satu-satunya pusat membeli-belah yang dibina khas di Bandar Kulim memberi perkhidmatan kepada 250,000 penduduk. Pesaing terdekat adalah The Summit Bukit Mertajam, yang terletak bersebelahan dengan bandar Bukit Mertajam. Landmark Central telah dirasmikan pada tahun 2009 dan menjadi pemangkin dalam menarik lebih banyak pembangunan komersial ke kawasan tersebut.

Hektar REIT berpengalaman dalam menguruskan pusat membeli-belah di kawasan kejiranan bagi kedua-dua Kedah Malls. Semua pusat membeli-belah terbaik memerlukan perhatian berterusan untuk kekal relevan. Gabungan peruncit adalah salah satu faktor penting dalam kejayaan menguruskan pusat membeli-belah. Tahun 2013 merupakan tahun yang sibuk bagi kami untuk melaksanakan rancangan transformasi Kedah Malls.

Berbekalkan pengalaman kami menggunakan amalan terbaik antarabangsa dalam reka bentuk dan pengurusan campuran runcit bagi pusat membeli-belah, motivasi kami adalah untuk memastikan bahawa Kedah Malls kekal relevan kepada pembeli-pembeli. Penaikan taraf muka bangunan bahagian luar serta bahagian dalam pusat membeli-belah akan meningkatkan profil Pusat Membeli-Belah Central Square agar ia jadi setanding dengan beberapa kemudahan pusat membeli-belah yang lebih baru di Sungai Petani.

Seperti yang dirancang, aktiviti peningkatan aset di Central Square telah bermula di aras bawah dan kami menjangka akan menyiapkan kerja penaikan taraf menjelang suku ketiga FY2014. AEI telah berjalan lancar dan kesan ke atas operasi harian pusat membeli-belah adalah ditahap minima. Langkah-langkah pelaksanaan kerja-kerja penaikan taraf ini telah memberikan kami peluang untuk menarik masuk beberapa peruncit rantaian tempatan dan antarabangsa yang baru bagi menggantikan beberapa penyewa sedia ada yang kurang popular. Kami teruja dengan kemajuan transformasi Central Square dan akan memaklumkan kepada anda lebih lanjut lagi tentang hasilnya tidak lama lagi.

Sebaik sahaja Central Square menyiapkan sepenuhnya AEI dalam suku ketiga 2014, Landmark Central adalah tumpuan kami seterusnya. Selain itu, kami juga menambah baik gabungan penyewa. Penyemakan kadar sewa sepanjang FY2013 adalah amat menggalakkan pada angka dua digit dalam jangkaan keadaan lebih baik untuk Landmark Central di masa hadapan. Kadar penyewaan bagi Landmark Central telah bertambah baik dari 76.7% pada tarikh pembelian kepada 93.7% menjelang akhir tahun FY2013.

Hektar REIT juga prihatin terhadap tanggungjawabnya untuk memupuk dan membangunkan usahawan-usahawan baru yang mempunyai idea peruncitan yang baik yang boleh memberikan pengalaman membeli-belah yang unik kepada pengunjung-pengunjung kami. Kami mempunyai perkhidmatan sistem eraman yang merupakan salah satu cara di mana Hektar REIT boleh menarik usahawan baru.

Sistem eraman kami melibatkan penggunaan Unit Dagangan Runcit (RMU) atau push carts dan Stand-Alone Counters (SAC) yang lebih besar. Kaedah-kaedah peruncitan ini secara relatifnya adalah lebih murah untuk disewa berbanding dengan menyewa ruang kedai yang lebih besar. Oleh yang demikian, usahawan-usahawan hanya memerlukan modal permulaan lebih kecil untuk mempromosikan idea peruncitan mereka. Sekiranya terbukti berjaya, mereka boleh memperluaskan konsep mereka di ruang kedai yang lebih besar. Kami juga akan memperkenalkan sistem ini di Kedah Malls.

PStrategi pembelian

Tidak ada pembelian baru pada tahun 2013 kerana tumpuan kami ialah terhadap penaikan taraf dan pengaturan semula kedua-dua Kedah Malls. Walau bagaimanapun, kami akan terus meneroka potensi pembelian lain jika ada peluang. Dalam suasana kadar permodalan yang meruncing, kriteria pengembangan kami adalah berbentuk oportunistik, menumpu kepada aset yang menjanjikan pulangan yang baik.

Unik kepada REIT, apa-apa cadangan pembelian pada masa hadapan akan memerlukan dana dari pembiayaan luaran seperti penerbitan unit-unit baru Hektar REIT dan/ atau pinjaman. Ini adalah kerana sekurang-kurangnya 90% daripada dana yang dijana secara dalaman harus diagihkan untuk menikmati insentif cukai yang sediakan khusus untuk REITS.

Berdasarkan julat harga dagangan semasa REIT, yang kekal melampaui NAV, dan digabungkan dengan akses kepada pembiayaan bank yang kompetitif, kami yakin akan keupayaan kami untuk membiayai pembelian yang menjana pendapatan baru di masa hadapan.

Penghargaan

Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan kami di Hektar atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menjalankan tugas mereka. Penghargaan ini juga ditujukan kepada peruncit, penjual dan rakan kongsi perniagaan. Sumbangan dan sokongan anda memastikan agar Hektar REIT kekal sebagai pelaburan yang stabil, selamat dan menjadi pilihan pelabur-pelabur kami.

Dato’ Jaafar bin Abdul Hamid
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif