2021

Pihak pengurusan tetap komited dalam mengharungi cabaran dan memacu pemulihan Hektar REIT di tahun 2022 dan seterusnya.

CEO's Letter to Unitholders from Hektar REIT's 2021 Annual Report.

Para Pemegang Unit Yang Dihargai,

Pandemik COVID-19, yang bermula pada bulan Disember 2019 yang lalu, terus mengganggu kehidupan dan mata pencarian melalui gelombang jangkitan baharu di Malaysia dan di seluruh dunia, yang memerlukan pengembalian semula langkah pembendungan untuk mencegah penularannya pada tahun 2021.

Di Malaysia, kesan negatifnya amat ketara terhadap semua jenis industri termasuk bidang peruncitan yang menjadi fokus utama Hektar REIT. Walaupun cabaran dari ketidaktentuan dijangka berterusan, pihak pengurusan tetap komited dalam mengharungi cabaran dan memacu pemulihan Hektar REIT di tahun 2022 dan seterusnya.

Ulasan Pasaran

Pihak kerajaan telah mengisytiharkan darurat sementara pada bulan Januari 2021 serta melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) selama 14 hari pada mulanya dari 13 hingga 26 Januari 2021 di 6 buah negeri di Malaysia bagi membendung penularan COVID-19. PKP 2.0 kemudiannya dilanjutkan sehingga 4 Mac 2021 di Kuala Lumpur (KL), Selangor, Pulau Pinang dan Johor manakala negeri lain (kecuali Perlis) diletakkan di bawah PKP Bersyarat (PKPB). Sekatan pergerakan di bawah PKP 2.0 bagi empat negeri itu kemudiannya telah dilonggarkan di bawah PKPB mulai 5 Mac 2021.

Seluruh Malaysia bagaimanapun diletakkan semula di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) pada awal bulan Mei 2021 ketika negara bergelut dengan peningkatan jangkitan Covid-19. Ini diikuti dengan pengenaan sekatan menyeluruh di bawah PKP Penuh (PKPP) di seluruh negara pada bulan Jun 2021 serta pelaksanaan PKP Diperketatkan (PKPD) di kebanyakan daerah di Selangor dan 14 lokaliti di KL.

Pihak Kerajaan juga mengumumkan Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang mengandungi empat fasa peralihan pada bulan Jun 2021 dengan petunjuk utama bergantung kepada nilai ambang purata kes harian, tertentu, pengurangan kadar penghunian katil di wad ICU dan peratusan penduduk yang perlu diberi vaksin untuk membolehkan negeri-negeri beralih dari satu fasa ke fasa yang lain yang akan membolehkan sektor tertentu beroperasi dengan sekatan yang dikurangkan. Nilai ambang ini kemudiannya telah diselaraskan lagi sejajar dengan peningkatan kadar vaksinasi di kalangan orang dewasa.

Objektif langkah-langkah ini tertumpu kepada menyelamatkan nyawa dan mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan awam Malaysia. Penguatkuasaan pelbagai langkah kawalan seperti sekatan perjalanan domestik dan antarabangsa serta larangan operasi untuk industri perkhidmatan yang mempunyai hubungan intensif telah menjejaskan kebanyakan sektor ekonomi.

Industri peruncitan juga turut terkesan dengan jualan runcit merosot sebanyak 27.8% berbanding tahun sebelumnya pada 3Q21 manakala jualan runcit terkumpul bagi tempoh sembilan bulan pertama 2021 menguncup sebanyak 11.9% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2020, seperti yang dilaporkan oleh Retail Group Malaysia (RGM). RGM telah mengunjurkan ramalan pertumbuhan jualan industri peruncitan sebanyak 0.5% bagi tahun 2021.

Ekonomi Malaysia menguncup sebanyak 4.5% pada suku ketiga 2021 (suku kedua 2021: +16.1%). Akibatnya, unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun 2021 telah disemak semula dan diturunkan kepada antara 3% dan 4%. Untuk mengurangkan kejutan, pihak Kerajaan telah melaksanakan beberapa pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion sejak wabak COVID-19 menular, dengan RM225 bilion atau 14.8% daripada KDNK diperuntukkan pada tahun 2021 melalui empat pakej bantuan dan rangsangan – PERMAI, PEMERKASA, PEMERKASA+ dan PEMULIH yang terdiri daripada langkah fiskal dan bukan fiskal manakala Bank Negara Malaysia (BNM) telah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% sepanjang tahun 2021 untuk menyokong pemulihan yang lebih mampan.

Peningkatan pada kadar vaksinasi negara pada suku ketiga 2021 telah menyebabkan penurunan dalam jumlah jangkitan baru harian, kadar kemasukan ke hospital serta kadar kematian. Berikutan ini, pihak Kerajaan telah memutuskan untuk membenarkan perniagaan tidak penting tertentu yang sebelum ini dilarang beroperasi di bawah PKP 3.0 untuk menyambung semula operasi mulai pertengahan bulan Ogos 2021 tertakluk kepada pematuhan terhadap prosedur operasi standard (“SOP”) yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan. Pihak Kerajaan juga telah melonggarkan beberapa sekatan, termasuk membenarkan individu yang telah divaksin sepenuhnya untuk makan di restoran & kafe mulai bulan Ogos 2021 di negeri-negeri yang memenuhi kriteria tertentu. Perjalanan di antara negeri dan ke luar negara juga telah dibenarkan baru-baru ini untuk individu yang telah divaksin sepenuhnya. Pawagam-pawagam juga telah dibenarkan untuk dibuka semula pada bulan September 2021, walaupun dengan pelaksanaan langkah-langkah penjarakan fizikal.

Aktiviti ekonomi telah meningkat apabila seluruh negara telah beralih ke Fasa 4 PPN pada awal Januari 2022 dengan langkah pembendungan yang kurang ketat dan kebanyakan perdagangan runcit telah dibenarkan beroperasi. Pada masa penulisan perutusan ini, Malaysia juga telah mencapai kadar vaksinasi hampir 98% dan 90% masing-masing untuk orang dewasa dan remaja. Kadar vaksinasi yang tinggi dalam masyarakat telah meningkatkan keyakinan pengguna yang telah menyebabkan para pembeli dan pelanggan beransur-ansur kembali ke pusat beli-belah.

BNM melaporkan dalam laporan ekonomi suku tahun terbarunya pada 11 Februari 2022 bahawa ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% pada suku keempat 2021 (Suku ketiga 2021: -4.5%), apabila aktiviti ekonomi disambung semula dengan pelonggaran. daripada langkah-langkah pembendungan. Dengan pemulihan dalam pertumbuhan pada suku keempat, ekonomi berkembang sebanyak 3.1% pada 2021 secara keseluruhan dengan kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.

Namun begitu, kemajuan dan keberkesanan vaksinasi, pematuhan kepada prosedur operasi standard serta keupayaan untuk membendung wabak dengan berkesan daripada mana-mana varian baharu Covid-19 yang membimbangkan akan menjadi kunci kepada pemulihan sektor runcit dan ekonomi negara secara amnya.

Ulasan portfolio

Walaupun keadaan pasaran yang terus mencabar, kadar penghunian portfolio keseluruhan Hektar REIT kekal sihat pada kadar 85% pada tahun 2021 dengan Kulim Central mengekalkan kadar penghunian yang membanggakan melebihi 90%. Hakikat bahawa portfolio kami terpelbagai dengan baik dari segi geografi dengan pusat beli-belah kami sama ada pusat beli-belah yang dominan atau satu-satunya pusat beli-belah di bandar tertentu juga telah membantu mengurangkan kesan keseluruhan ke atas kadar penghunian portfolio Hektar REIT. Trafik pengunjung merosot kepada 13.3 juta kunjungan pada tahun 2021 berikutan pelaksanaan berterusan pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan. Sementara itu, kadar pembaharuan sewa keseluruhan portfolio adalah negatif 7% berdasarkan ulasan sewa dan tawaran rebat yang dilaksanakan oleh REIT untuk menyokong para penyewa yang layak.

Subang Parade

Subang Parade telah merekodkan kadar penghunian sebanyak 83% pada penghujung tahun 2021 apabila sebilangan penyewa memilih untuk menamatkan penyewaan mereka lebih awal dalam persekitaran runcit yang sangat sukar dan mencabar. Bagaimanapun, kami berbesar hati mengalu-alukan pembukaan Golden Screen Cinemas (GSC) di pusat beli-belah ini pada awal bulan Januari 2022 berikutan kejayaan GSC memperolehi cawangan MBO di Subang Parade pada tahun 2021.

Sementara itu, tahun 2021 juga menyaksikan kemasukan peruncit baharu seperti Eco Shop, Marina Nail Spa dan Original Classic, sejajar dengan pelan menambahbaik penyewaan untuk Subang Parade yang akan menyegarkan tawaran membeli-belah harian, perkhidmatan, hiburan dan F&B di pusat beli-belah tersebut.

Mahkota Parade

Kadar penghunian Mahkota Parade menurun kepada 87% pada tahun 2021. Walaupun pasaran tidak menentu, pihak Pengurusan terus mempertingkatkan kualiti campuran penyewa di pusat beli-belah ini dengan pengenalan peruncit baharu seperti Skechers, Llao Llao dan Gatti Sports pada tahun 2021. Walaupun jumlah pengunjung Mahkota Parade telah menurun pada tahun 2021 berikutan pelbagai sekatan pergerakan dan penutupan sempadan antarabangsa, pusat beli-belah itu kekal sebagai destinasi membeli-belah utama di Melaka dengan 2.9 juta pengunjung pada tahun 2021. Daripada pusat-pusat beli-belah di dalam portfolio Hektar RET, adalah dijangkakan bahawa pusat beli-belah ini akan mendapat manfaat sepenuhnya daripada kemasukan semula pelancong ke Melaka sebaik sahaja Malaysia membuka semula sempadannya kepada pengembara antarabangsa pada 2022.

Wetex Parade & Classic Hotel

Wetex Parade, satu-satunya pusat beli-belah di Muar mengakhiri tahun 2021 dengan kadar penghunian hampir 90% dengan jumlah trafik pengunjung dicatatkan pada 1.9 juta kunjungan. Walaupun keadaan pasaran yang sukar, kadar pembaharuan sewaan keseluruhan kekal membanggakan pada 6%. Wetex Parade telah menyaksikan kemasukan EEK Mart, Carlo Rino, Original Classic dan Boost Juice pada tahun 2021.

Sebagai hotel terbesar di Muar dengan kemudahan dewan acara yang terbesar, Classic Hotel Muar mencatatkan kadar penghunian keseluruhan yang membanggakan sebanyak 23% dengan kadar purata bilik pada RM131 bagi tahun 2021 walaupun terjejas teruk oleh pelbagai sekatan mobiliti. Walau bagaimanapun, kami optimistik dengan berhati-hati bahawa prestasi hotel akan bertambah baik pada tahun 2022 dengan penarikan balik sekatan perjalanan dan normalisasi aktiviti ekonomi dan pelancongan.

Central Square

Pusat beli-belah terkemuka di Sungai Petani ini merekodkan trafik pengunjung sebanyak 1.9 juta pada tahun 2021 manakala kadar penghunian telah merosot sedikit kepada 86%. Kami mengalu-alukan pembukaan GSC di pusat beli-belah ini pada bulan Januari 2022 selepas GSC berjaya memperolehi cawangan MBO Cinema di Central Square pada tahun 2021. Sementara itu, pihak Pengurusan sedang meneruskan inisiatif untuk meningkatkan kualiti campuran penyewa dan kedudukan pusat beli-belah ini, seperti yang ditunjukkan oleh kemasukan Original Classic dan 7-Eleven pada tahun 2021. Kadar pembaharuan sewaan kekal positif pada kira-kira 4%.

Kulim Central

Satu-satunya pusat beli-belah di Kulim terus mengekalkan kadar penghunian melebihi 90% bagi tahun 2021, dengan kadar penghunian 94% direkodkan pada akhir tahun 2021. Trafik pengunjung adalah kira-kira 1.9 juta manakala kadar pembaharuan sewaan kekal positif pada 6%. Kesan positif daripada inisiatif peningkatan aset pada tahun 2017 berterusan sehingga hari ini dengan jenama baharu seperti peruncit sukan dan gaya hidup, Original Classic dan peruncit pakar kopi premium antarabangsa, The Coffee Bean & Tea Leaf menyertai Kulim Central pada tahun 2021, sekali gus meningkatkan kemeriahan campuran penyewa di pusat beli-belah tersebut.

Salah satu penyewa utama kami, Giant Superstore, yang dilancarkan semula pada 2019, juga telah memperbaharui perjanjian penyewaannya bagi tempoh 3 tahun yang akan datang.

Segamat Central

Kadar penghunian Segamat Central merosot kepada 67% dengan trafik pelawat sekitar 700,000 kunjungan pada tahun 2021. Walau bagaimanapun, pihak Pengurusan tetap berpegang teguh pada strategi “mengutamakan penghunian“ dengan melaksanakan strategi penyemakan sewa untuk mengekalkan penyewa sedia ada serta menarik penyewa utama khusus dan lebih banyak peruncit F&B ke pusat beli-belah ini. Sementara itu, kami mengalu-alukan pembukaan Original Classic dan penjual semula produk Apple yang sah, Switch pada tahun 2021, yang menawarkan pembeli-belah dengan pengalaman membeli-belah yang baharu dan akses kepada produk Apple yang terkenal. Kami juga baru-baru ini memperkenalkan peruncit baharu serta menarik, KS Mart Signature dan penyewa F&B baharu, Restoran Siam pada Januari 2022.

Ulasan kewangan

REIT merekodkan pendapatan kira-kira RM97 juta pada tahun 2021, susut 13% berbanding tahun 2020 manakala perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak 15% kepada kira-kira RM50 juta. Sementara itu, pendapatan hartanah bersih menurun kepada RM47 juta, susut kira-kira 11% berbanding 2020 manakala pendapatan bersih sebelum cukai direalisasikan adalah kira-kira RM13 juta. Terdapat kerugian bersih sebelum cukai kira-kira RM32 juta disebabkan oleh penurunan nilai saksama portfolio.

Pembiayaan

Pembiayaan semasa Hektar REIT termasuk kemudahan hutang sehingga RM581 juta, dengan 92% daripada jumlah hutang tersebut perlu dibayar pada tahun 2024-2025.

Nisbah gearing Hektar REIT berada pada 47.2% pada akhir tahun 2021, jauh di bawah peningkatan had gearing 60% yang diumumkan oleh Suruhanjaya Sekuriti pada 11 Ogos 2020, iaitu peningkatan sebanyak 10% daripada had 50% sebelum ini. Kenaikan had gearing ini berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2022.

Sementara itu, BNM terus mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75% sejak Julai 2020. Persekitaran kadar faedah yang akomodatif serta had gearing yang lebih tinggi akan memberikan REIT lebih fleksibiliti untuk menguruskan struktur modal dan pembiayaan dengan lebih cekap di tengah-tengah pandemik COVID-19.

Pengagihan

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang ketara kepada industri peruncitan dan REIT juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, kami tetap komited untuk mengekalkan dasar pengagihan sekurang-kurangnya 90% daripada pendapatan boleh diagih kami dan telah mengisytiharkan dividen seunit (DPU) bagi suku keempat/jumlah keseluruhan sebanyak 2.53 sen untuk tahun 2021 dengan jumlah keseluruhan pengagihan sebanyak kira-kira RM11.9 juta. Berdasarkan harga penutup saham Hektar REIT 50.5 sen pada 31 Disember 2021, hasil dividen daripada pengagihan adalah kira-kira 5%. Pada akhir tahun 2021, Hektar REIT mempunyai hampir 5,500 pemegang-pemegang unit.

Cadangan korporat

Kami telah mengumumkan pada 15 November 2021 bahawa Hektar REIT telah mengemukakan Cadangan Penempatan Persendirian sehingga 23,098,000 unit baharu Hektar REIT (“Cadangan Penempatan Persendirian)”, yang mewakili sehingga 5% daripada jumlah Unit terbitan sedia ada sebanyak 461,960,178 Unit pada 12 November 2021, iaitu tarikh terkini yang boleh dilaksanakan sebelum pengumuman (“LPD”). Setakat ini, bilangan sebenar Unit Penempatan yang dikeluarkan di bawah Cadangan Penempatan Persendirian ialah 9.3 juta Unit.

Cadangan Penempatan Persendirian terutamanya akan membolehkan Hektar REIT mengumpul dana yang diperlukan untuk modal kerja dan modal kerja yang sedang dijalankan untuk membantu memudahkan operasi harian Hektar REIT sedia ada secara keseluruhan dengan menyediakan lebih fleksibiliti dari segi pengurusan aliran tunai.

Di samping itu, Cadangan Penempatan Persendirian ini juga akan mengukuhkan asas modal Hektar REIT dan membolehkan Hektar REIT memberi tumpuan yang lebih besar dalam mengutamakan strategi perniagaannya untuk mengatasi cabaran ekonomi dan perniagaan berdasarkan situasi ekonomi semasa yang disebabkan oleh COVID-19 pandemik. Cadangan Penempatan Persendirian ini dijangka akan disempurnakan pada separuh tahun pertama 2022.

Kelestarian

2021 adalah tahun yang penuh dengan cabaran, pergolakan dan pemulihan. Seperti kebanyakan organisasi, kami mengalami ketidaktentuan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan gangguan dalam operasi harian kami akibat COVID-19. Pandemik ini malangnya telah menunjukkan bahawa gangguan yang meluas dan ketara adalah mungkin. Memperkukuhkan platform kami untuk mencipta nilai dan menyampaikan pendapatan yang mampan, stabil untuk para pemegang unit adalah penting untuk pemulihan pasca pandemik COVID-19 kami.

Kelestarian kekal menjadi keutamaan kami sepanjang tahun 2021 apabila kami bangkit daripada krisis ini. Kami memperhalusi isu material dan mengukuhkan komitmen kami terhadap kecemerlangan perniagaan serta mengurus aspek alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang paling material bagi pihak berkepentingan kami. Kami juga telah menyelaraskan faktor material kami dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang sepadan untuk memaksimumkan impak kami. Hektar REIT kekal sebagai ahli konstituen Indeks FTSE 4Good Bursa Malaysia dan dalam penilaian terkini Disember 2021, konduk ESGnya telah diperakui dengan penarafan ESG 3 bintang oleh FTSE Russell.

Kami mengambil perhatian yang lebih untuk memastikan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan pekerja, pembeli-belah, tetamu, pelawat dan komuniti setempat. Kami juga menyediakan bantuan penyewaan kepada penyewa yang layak untuk membantu mereka dalam keadaan pasaran yang mencabar.

Tahun lalu sememangnya amat mencabar bagi ahli masyarakat yang terdedah dan kurang bernasib baik. Kami bekerjasama dengan ahli “Malaysia REIT Managers Association “(MRMA) yang lain dalam menderma RM100,000 dalam bentuk baucar tunai 99-Speedmart yang boleh ditukar dengan makanan, barangan runcit, produk kebersihan diri dan barangan keperluan lain untuk meringankan penderitaan penduduk tempatan serta komuniti di Selangor dan Kuala Lumpur yang terjejas teruk oleh pandemik COVID-19 dan pelbagai penutupan yang dilaksanakan sejak 2020.

Walaupun berada di dalam pandemik, pengurangan impak terhadap alam sekitar daripada aset dan operasi kami tetap menjadi keutamaan. Kami berjaya mengurangkan jumlah keseluruhan pelepasan CO2e daripada aset kami sebanyak kira-kira 11.6% kepada 18.8 juta kgCO2e pada tahun 2021 daripada hampir 21.3 juta kgCO2e pada tahun 2020. Keamatan pelepasan daripada aset kami yang dinyatakan sebagai jumlah CO2e yang dikeluarkan bagi setiap keluasan lantai kasar (kgCO2e/kaki persegi) juga bertambah baik kepada 4.0 kgCO2e/kaki persegi daripada 4.50 kgCO2e/sq.ft. pada tahun 2020.

Melangkah ke hadapan, kami juga akan terus mewujudkan sasaran yang boleh diukur, menambah baik dan memformalisasi keutamaan ESG kami dan mengintegrasikannya dalam proses membuat keputusan kami. Semakin hari, penyewa-pelanggan, pekerja, pelabur dan pihak berkepentingan lain menuntut komitmen-komitmen ESG yang lebih besar. Kami akan terus menambah baik kredibiliti ESG kami, bukan hanya kerana peraturan kini menjadi lebih tertumpu pada perkara ini, tetapi juga kerana ia merupakan amalan perniagaan yang baik dan yang paling penting, kerana ia adalah perkara yang betul untuk dilakukan.

Menghadapi ketidakpastian

Ekonomi global memasuki tahun 2022 dalam kedudukan yang lebih lemah daripada yang dijangkakan sebelum ini. Apabila varian Omicron baharu tersebar, banyak negara telah mengenakan semula sekatan mobiliti. Kenaikan harga tenaga dan gangguan bekalan telah mengakibatkan inflasi yang lebih tinggi dan lebih luas daripada yang dijangkakan, terutamanya di Amerika Syarikat serta di pasaran baru muncul dan negara ekonomi membangun. Kemerosotan sektor hartanah di negara China yang berterusan dan pemulihan penggunaan swasta yang lebih perlahan daripada jangkaan juga telah menghadkan prospek pertumbuhan.

Berdasarkan unjuran terkini IMF, pertumbuhan global dijangka menyederhana daripada 5.9% pada tahun 2021 kepada 4.4% pada tahun 2022, iaitu unjuran setengah mata peratusan lebih rendah untuk 2022 berbanding unjuran sewaktu Tinjauan Ekonomi Dunia (WEO) pada bulan Oktober 2021 yang lalu, sebahagian besarnya mencerminkan ramalan kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat dan China, dua ekonomi terbesar di dunia.

Trajektori pertumbuhan negara dijangka bertambah baik selaras dengan peralihan Malaysia ke fasa endemik, memandangkan aktiviti ekonomi telah bermula semula, peningkatan selanjutnya dalam pasaran buruh, sokongan dasar yang berterusan dan pengembangan dalam permintaan luar. BNM baru-baru ini mengulangi bahawa ekonomi Malaysia akan berkembang antara 5.5% dan 6.5% pada 2022, disokong oleh pengembangan berterusan dalam permintaan global dan perbelanjaan sektor swasta yang lebih tinggi, memandangkan keadaan pasaran buruh yang bertambah baik dan sokongan dasar yang berterusan. Penerusan projek pelaburan utama dalam kedua-dua sektor swasta dan awam juga akan menyokong pertumbuhan.

Walaupun kes baharu harian dalam aliran meningkat baru-baru ini dengan penularan varian Omicron, kami optimis secara berhati-hati bahawa Malaysia kini beransur-ansur bangkit daripada gelombang terburuk pandemik berikutan pecutan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (NIP), dengan hampir 79% daripada populasi telah diberi vaksin sepenuhnya setakat 15 Februari 2022. Dengan liputan NIP kini diperluaskan kepada kanak-kanak, negara sedang bersiap sedia untuk menghapuskan sekatan Covid-19 dan kembali kepada normal sebelum pandemik memandangkan hampir keseluruhan populasi Malaysia kini layak menerima perlindungan vaksinasi daripada Covid-19.

Pasaran runcit bagaimanapun dijangka kekal mencabar memandangkan gangguan berpanjangan yang disebabkan oleh pandemik dan ketidaktentuan yang ditimbulkan oleh kemunculan varian yang membimbangkan, khususnya varian Omicron. Pihak Pengurusan mengekalkan pandangan berhati-hati untuk tahun yang akan datang dan akan memantau dengan teliti perkembangan situasi semasa dan akan kekal fokus untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pembeli-pembeli, penyewa-penyewa, pekerja-pekerja dan komuniti-komuniti di semua hartanahnya.

Kami juga berhasrat untuk meneroka format perniagaan yang baharu dan membina strategi omni-saluran serta menggabungkan elemen pengalaman, menerima pendigitalan dan memikirkan semula reka bentuk ruang pusat-pusat beli-belah kami. Kami juga akan terus melaksanakan inisiatif pemasaran strategik untuk memacu trafik kembali ke pusat-pusat beli-belah kami serta memastikan pusat-pusat beli-belah kami kekal relevan melalui pelbagai pencampuran semula penyewaan dan inisiatif peningkatan aset optimum yang lain.

Untuk memastikan kami mempunyai asas yang baik untuk pemulihan, kami juga telah secara aktif mengurangkan atau menangguhkan perbelanjaan operasi dan modal yang tidak penting untuk membendung kos dan memelihara aliran tunai, sambil mengukuhkan penyata imbangan melalui pengurusan modal yang berhemat dan proaktif secara berterusan.

Anugerah & penghargaan

Usaha penglibatan komuniti Hektar REIT pada 2021 telah diiktiraf dengan pengurus hartanahnya, Hektar Property Services, menerima Anugerah Kelestarian & CSR 2021 daripada CSR Malaysia. Kami sememangnya berasa rendah diri dengan pengiktirafan itu dan akan terus terlibat secara rapat dengan komuniti kami.

Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada Ketua Jabatan dan pasukan dalaman Undang-Undang kami kerana telah dinamakan sebagai finalis untuk kategori Peguam Dalaman Terbaik Tahunan dan Pasukan Dalaman Terbaik Tahunan di “Asian Legal Business (ALB) Malaysia Law Awards 2022” baru-baru ini. Anugerah berprestij ini memberi penghormatan kepada prestasi cemerlang pengamal swasta dan pasukan dalaman di Malaysia dan sekitar rantau ini. “Asian Legal Business”, penyedia terkemuka berita dan maklumat undang-undang untuk profesional undang-undang di rantau Asia, mempertimbangkan dan memilih finalis dengan teliti untuk anugerah berdasarkan pencapaian profesional dari segi keluasan, kerumitan, inovasi, impak dan kepentingan kerja atau pencapaian oleh individu atau pasukan. Saya mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan dalaman Undang-Undang kami pada Majlis Anugerah Maya ALB yang akan diadakan pada 24 Mac 2022 nanti.

Bagi pihak Lembaga Pengarah, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Cik Tay Hwee Pio dan Cik Rahanawati Ali Dawam yang telah meletak jawatan daripada Lembaga Pengarah kami masing-masing pada 24 Julai 2021 dan 11 Februari 2022. Kami amat menghargai dedikasi dan sumbangan mereka selama ini. Kami juga mengalu-alukan ahli-ahli Lembaga Pengarah kami yang baharu, Cik Tan Loo Ming, Encik Johari Shukri Jamil dan Encik Hasli Hashim dan berharap dapat bekerjasama dengan mereka.

Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada pihak pengurusan dan kakitangan kami di atas dedikasi dan ketabahan mereka dan kepada ahli-ahli Lembaga Pengarah yang telah memberi petunjuk dan bimbingan semasa menghadapi tempoh yang sukar ini. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkepentingan kerana bersama-sama kami dalam mengharungi dan mengatasi cabaran tahun ini.

Kami akan terus bekerja keras dan mengharapkan sokongan berterusan semua pihak berkepentingan dalam usaha kami untuk mengemudi Hektar REIT ke arah pemulihan pada tahunn 2022.

Dato’ Hisham bin Othman
Pengarah Eksekutif & Ketua Pegawai Eksekutif